Sunday, September 30, 2012

Review Putera Sangkar Maut

Assalamualaikum w.b.t,

baru selesai pulang dari menonton persembahan orang - orang di kedai tua tempat aku lahir, 'Tronoh Theatre Shop'. Berikut adalah reviewnya.

Sinopsis

Putera Sangkar Maut adalah sambungan daripada cerita 'Maharaja Beruk', anak haram Maharaja yang bernama Azad telah di besarkan oleh Pak Baem dan Mak Uda. Pak Baem dan Mak Uda juga mempunyai anak sendiri, iaitu Uda. Azad telah menjadi seorang pemuda yang suka berfoya - foya, tidak seperti Uda yang lebih matang dalam tindakan dan kata - kata. Rosnah yang telah bertunang dengan Andak telah menaruh hati terhadap Uda, namun Uda lebih mencintai Aminah. Azad pula menaruh hati terhadap Aminah namun cintanya tak pernah terbalas. Semua berubah apabila Datuk Bendahara dan Datuk Temenggung datang ke rumah Pak Baem dan Mak Uda selepas mereka telah dapat mencari pewaris takhta maharaja iaitu Azad. Azad yang masih keliru memohon untuk diberikan masa supaya dapat berfikir. Dalam pada itu, dia telah merogol Aminah ketika dia pulang berseorangan. Mendengar Azad telah menjadi Maharaja, Rosnah telah mencari helah untuk memutuskan pertunangannya dengan Andak dan berkahwin dengan Azad melalui pertolongan sihir Nyai Temah. Azad yang telah menjadi maharaja bertindak kejam terhadap rakyat dan telah menjadi korup kerana terlalu mengikuti kata - kata Rosnah dan hasutan Datuk Temenggung meskipun Datuk Bendahara tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Andak juga telah dinaikkan pangkat dan menjadi orang istana, namun Rosnah dan Andak masih menaruh hati antara satu sama lain, perkara ini telah digunakan oleh Datuk Temenggung sebagai peluang untuknya meraih keuntungan dengan mengugut akan memberitahunya kepada marahaja. Aminah pula telah mati dibunuh oleh Datuk Temenggung ketika dia mengadu telah mengandung anak luar nikah Azad. Uda, Pak Baem, dan Mak Uda yang telah menunjuk protes di taman larangan telah di serang oleh pihak kerajaan dibawah perintah Azad. Mendengarkan kematian Aminah, Uda meluru dan telah membunuh Datuk Temenggung yang sedang berada di dalam gua bersama maharaja Azad dan Rosnah untuk melihat sangkar tempat kelahiran Azad. Azad telah mengugut untuk membunuh Pak Baem dan kesempatan ini telah digunakan untuk mencederakan Uda dan seterusnya membunuh Pak Baem. Gempa Bumi kemudian berlaku dan Azad telah ditelan bumi sementara Rosnah pula gila akibat kematian Azad.

Ala - ala yang bukan ala-mak

Dahulu TTS pernah membuat satu pementasan Bangsawan Tuah Hang Jebat. Ketika itu, dibawah program semarak bangsawan, TTS telah mementaskan karya yang aku anggap diberi permaknaan yang baru namun sedikit janggal akibat tidak digarap dengan baik dihujung cerita. Aku sebenarnya bukanlah seorang yang terlalu tradiotionalist, atau terlalu avant - garde. Cuma aku suka untuk buat kerja avant - garde bila aku nak buat kerja avant - garde. Bila aku perlu untuk melakukan sesuatu yang tradisional, aku akan lakukannya demi menghormati bentuk yang telah sekian lama dicorakkan oleh orang yang terdahulu. Bangsawan sebenarnya bermula daripada wayang parsi yang dibawa oleh pedagang - pedangang india di sekitar Pulau Pinang. Setelah mereka pulang, elemen ini telah digunapakai oleh orang tempatan, maka lahirlah bangsawan yang membawakan cerita yang berbagai - bagai, dari Shakespeare, hingga hikayat dan dongengan melayu. Dr.Shark sengaja memilih untuk meletakkan 'ala - ala bangsawan' kerana dia sendiri mahu begitu, lari dari konsep asal bangsawan, namun hanya memakai elemennya sahaja. Aku sendiri yang tidak pernah menonton bangsawan asli yang dilakonkan oleh orang - orang bangsawan, sudah pasti tidak dapat membezakan apakah satu bangsawan itu asli atau tidak? Ini bukanlah tempat aku untuk menentukannya, namun atas penghormatan Dr.Shark untuk tidak meletakkan ianya sebagai satu pementasan bangsawan, adalah sangat aku puji. Namun harus dinilai semula, apakah dengan tidak mengkontemporarikan seni komersial itu adalah tidak tradisional? bahkan bangsawan itu sendiri lahir dari wayang parsi yang diubah cara pementasannya, sesuai dengan selera tempatan? Apakah mak yong itu tidak lagi mak yong apabila dialek kelantan tidak digunakan? Ia adalah satu soalan dan pertembungan pemikiran yang dari dahulu lagi berlegar dikotak fikiran aku, dan biarlah aku mengatakan disini bahawa, aku selesa dengan perubahan yang sedikit - sedikit itu dan sesuai dengan zaman, kerana itu adalah semangat tradisional, hanya apabila zaman tradisional dan masa beredar secara tidak selari atau parallel, maka tradisional itu akan tenggelam dan sebarang perubahan akan dipandang oleh aktivisnya sebagai tidak tradisional.

Dan Dr.Shark seperti selalu, lebih selesa menjadi wira dipanggung sendiri, dikhalayak sendiri, dengan teknik sendiri dan cara sendiri, jika dia tidak diserang penyakit jantung dan berjaya mencapai apa yang dia mahu capai sebagai seorang pengarah, itu adalah perkara yang menggembirakan buat aku. Oleh itu, 'Ala - ala bangsawan' adalah terma yang selesa digunapakai olehnya tanpa perlu pening kepala dikritik oleh traditionalist. Memang ego-centric, tapi bukankah aktivis seni dan pengkarya perlu mempunyai perasaan begitu untuk kekal kreatif dengan cara sendiri? aku juga begitu.

'Manusia itu berbagai - bagai'  kata Tuhan.

'Supaya kamu saling kenal - mengenal' Kata Tuhan lagi.

maka terimalah idea dan bertukarlah idea dengan aman dan harmoni serta menghormati setiap pengkarya dengan sebaik mungkin.


Satu Tribute untuk Filem 60an

Pernah aku tanyakan kepada Dr.Shark, mengapa dia mengambil tajuk tersebut, dan adalah kerana dia nak gunapakai tajuk filem 60an, dan selang brapa lama selepas itu, aku berbual dengan dia lagi, dan telah membuat kesimpulan yang doc sendiri setuju bahawa pementasan kali ni adalah satu tribute untuk filem - filem 60an yang dia suka. Maka tak hairanlah jalan ceritanya hampir sama dengan 'stock' karekter yang sering ada dalam filem - filem 60an. Elemen - elemen 'anak luar nikah', 'cinta tiga segi',  'anak derhaka' adalah tema - tema yang sering digunapakai dalam filem - filem 60an, kesan daripada pengaruh filem di India yang baru meningkat naik ketika itu. Harus diingatkan bahawa kebanyakan pengarah ketika itu juga adalah berbangsa India dan syarikat perfileman pula dikuasai oleh orang cina (contoh : Shaw Brothers).

Bahasa ala 60an telah digunakan untuk memberikan suntikan kelainan kepada pementasan teater ini, namun sayangnya, para pelakon yang kurang memberi tumpuan terhadap pengucapan dialog ini membuatkan ia menjadi satu ciri yang tenggelam di akhir cerita dan seolah - olah ia menjadi satu pengucapan dialog yang biasa. Para pelakon seharusnya membuat homework sendiri dengan menonton dan berlatih untuk bertutur seperti pelakon filem 60an, dan jika ia berjaya di lakukan, sudah tentu ia akan menjadikan pengalaman menonton sebagai satu pengalaman nostalgik.

Seperti biasa, Dr.Shark tidak akan gagal untuk tidak menyelitkan unsur politikal, dan keseluruhan pementasan ini adalah tentang suasana politik di pihak kerajaan. Satu kritikan yang jelas dilontarkan dan sudah tentu penonton akan dapat menangkap dengan mudah. Teknik didaktik suka dilakukan oleh Dr.Shark ketika pementasan, ia tidaklah terlalu jelas, dan tidaklah terlalu tenggelam unsurnya, menyebabkan aku sendiri sering bertekak dengan dia atas hal ini. Aku pula suka untuk menggunakan pendekatan Dialektik atau teknik bertolt brecht yang berdasarkan Marxism, mengajak penonton untuk bebas berfikir dan tidak menjadi penonton yang tidur ketika pementasan dengan elemen alienation effect. Namun pada akhirnya tidak lah menjadi kesalahan kepada pengarah untuk memilih mana - mana stail, kerana ia sudah tentu berpadanan dengan jiwa pengarah tersebut. Didaktik atau Dialektik, pada akhirnya respon penonton dan objektif pengarahlah yang harus digunakan untuk menimbang tara sebagai outcome result. Tentang elemen politikal ini pula, aku agak terkejut dengan adanya watak Datuk Bendahara yang tidak bersetuju dengan tindakan dan arahan Maharaja serta pembesar istana yang korup. Pada sebelum ini, aku sendiri tidak pernah melihat keseimbangan kritikan doc terhadap arena politik, mungkin dia masih berharap agar orang baik itu ada dimana - mana, tidak kira parti politik.

Apa yang membuatkan aku lebih tertarik pada pementasan kali ini adalah elemen percintaan yang sudah agak lama tidak disuntik oleh Dr.Shark. Ini menjadikan beberapa karekter menjadi mangsa keadaan, seperti Azad, yang menjadi korban antara cinta dan masalah keluarga, dirinya yang telah diketahui anak haram kepada maharaja. Meskipun Azad dan Uda membesar dengan keadaan dan suasana yang harmoni, namun atas perkara - perkara ini telah meretakkan hubungan mereka adik beradik dan seterusnya antara rakan - rakan mereka iaitu Ujang dan Andak. Sememangya elemen ini tidak sempat untuk mengolah sebab dan kenapa watak - watak ini berubah dengan begitu cepat perwatakannya, tetapi cukuplah jika aku mengatakan bahawa takdir tuhan memungkinkan segalanya.

aku tidak pasti apakah doc sedar atau tidak yang dia telah menggunakan elemen 'Malaysia' dalam busana para pelakon, dengan elemen cina dan India digunakan, namun aku pasti ianya secara sedar atau tidak, adalah untuk mencerminkan suasana di Malaysia yang bermacam budaya.

pada struktur cerita pula, bagi aku, perkembangan watak tidak sempat ditekankan sangat, dan terlalu tergesa - gesa, menyebabkan Doc terpaksa menghabiskan cerita dengan pengakhiran yang cukup aku tak berkenan, sebab dah berulang kali dibuat. Gempa bumi, aku rasa kerana terlalu dipaksa untuk menghabiskan skrip oleh krew produksi dan pelakon, maka dia tidak dapat mengembangkan cerita dengan baik, apatah lagi memberikan pengakhiran cerita yang baik.

tolong jangan paksa doc siapkan skrip lagi. Atau dia akan berikan kepada penonton pengakhiran yang sama, aku sebagai penonton pula mungkin terpaksa muntah satu baldi sebab terlalu lama sangat menonton pengakhiran yang begitu, sebab aku tahu, kapasiti kreativiti doc adalah lebih dari itu. dan jauh daripada itu.

aku masih lagi menantikan sebuah lagi masterpiece yang dapat menandingi naskhah Cinta Sang Arnab. walaupun bukan cerita cinta, namun aku masih lagi menunggu. Ya, dan Asylum tidak lagi mencapai tahap Cinta Sang Arnab, rasanya sebagai peminat karya Doc, aku juga perlu demand bukan? ha ha ha.


Teknikaliti Produksi

Aku rasa pada peringkat ini, aku tidak perlu lagi memberi komen terhadap lakonan dan teknikaliti produksi, kerana tanggungjawab itu sudah dipegang oleh Dr.Shark, biarlah aku sebagai penonton kekal di kerusi aku sebagai penonton. Cuma secara keseluruhannya belum mencapai tahap tertinggi TTS, sebagai seorang TTSian, itu adalah tahap yang perlu dicapai jika mahu pergi ke tahap seterusnya. Pacing, Lontaran vokal, penghayatan (nampak natural), postur adalah antara isu - isu yang dapat aku kutip semasa menonton.Kalau betul - betul mahu perbaiki mutu lakonan atau sedikit teknikaliti, boleh PM aku diFB bila - bila masa.


wallahualam.

p/s : sentiasa berjuang dan melakukan apa2 pun atas nama Allah, jika kita tidak bersungguh, maka siapa lagi yang dapat kita harap dan sandarkan?


1 comment:

  1. Sefa ada pembetulan...."Andak juga telah dinaikkan pangkat dan menjadi orang istana, namun Rosnah dan Azad masih menaruh hati antara satu sama lain, perkara ini telah digunakan oleh Datuk Temenggung sebagai peluang untuknya meraih keuntungan dengan mengugut akan memberitahunya kepada marahaja."....rasanya bukan Azad tapi Andak kan?

    ReplyDelete