Wednesday, October 3, 2012

Review Pelantaq - Sex (?), Drugs (?) and Theory of Cultural Evolution...

Assalamualaikum w.b.t,

Bismillahirrahmanirrahim,

Semalam baru selesai menonton Pelantaq, pementasan yang dilakukan oleh Persatuan Penggerak Warisan Budaya (AKRAB), berikut adalah reviewnya.

Sinopsis :

Pelantaq mengisahkan tentang seorang anak muda iaitu Bahtiar yang ingin membebaskan diri dan keluarganya  dari kemelut kemiskinan. Diselubungi kehidupan di sebuah perkampungan nelayan di mana Bahtiar tinggal bersama emaknya yang sakit dan ditinggalkan ayahnya yang mengejar kemewahan hidup. Bahtiar bekerja dengan Taukeh Lim di pelantar ikan dan dalam masa yang sama dia melakukakn kerja - kerja penyeludupan haram demi menampung kos rawatan emaknya.

Tragedi kematian emaknya telah mengubah dirinya dan di situlah dia bertemu dengan seorang gadis bernama Nani. Siapakah Nani? Dapatkah Bahtiar membebaskan dirinya daripada kemiskinan? Siapakah Taukeh Lim yang sebenarnya? Dapatkah Bahtiar bertemu ayah kandungnya?

Hubungkait Tiga Elemen

Interpretasi berikut adalah menggunakan teknik perlambangan menerusi pendekatan psikologi Freud dan Psikoanalisis Lacan (mungkin dari segi perlambangan sahaja).

Teater ini dimulakan dengan bahagian pengakhiran, dimana Bahtiar telah ditikam oleh joho, atau Zakaria, ayahnya sendiri, kerana melarikan Nani, ketika babak Flashback dimainkan, beberapa korus, berpakaian seperti badut telah keluar dan mereka sebenarnya mewakili permainan akal fikiran yang dialami oleh Bahtiar sendiri. Perasaan resah, gelisah, takut, suka dan semunya diwakili oleh mereka. Terdapat dua kumpulan korus, Kumpulan A - berpakaian badut, Kumpulan B - Berjubah. Namun sayangnya kumpulan B hanya digunakan sekali, dan ini adalah sangat merugikan kerana tidak di gunakan dengan sebaiknya, menyebabkan ianya sedikit membazir. Daripada segi penggunaan korus, aku tidak begitu gemar akan penggunaan mereka ini yang tidak begitu efektif, barangkali idea untuk korus ini diwujudkan untuk membantu menggerakkan platform Pelantaq untuk 'menghalalkan' keberadaan mereka semasa berada di pentas dan aku sedikit terganggu dengan lakonan mereka yang tidak begitu meyakinkan, dari segi tenaga dan karekter korus itu tidak dilakukan dengan baik, tenaganya rendah, dan badutnya tidak cukup ceria, malah tidak perlu rasanya untuk mereka berbisik - bisik melainkan jika kostum mereka itu berjubah dan menampakkan misteri. Disini memperlihatkan penggunaan korus yang tidak efisien bagi aku. Seharusnya Kumpulan A dan B memperlihatkan perbezaan, namun ia tidak begitu.

Salah satu elemen terbaik pementasan ini adalah Platform yang digunakan untuk menggambarkan tiga latar, iaitu di Pelantar, Di rumah, dan juga di Kelab Malam. Aku sangat - sangat menghormati kesanggupan mereka meluangkan masa untuk membina sebuah platform yang begitu baik sekali dengan artistik aspek yang cukup mendalam bagi pementasan ini. Sudah tentu masa yang digunakan untuk membina atau merekanya adalah agak lama, dan sewajarnya jika terdapat anugerah tatarias pentas, mereka wajib memenangi kerana kekeratifan dan usaha gigih mereka.

Daripada segi Jalan cerita, tidak ada apa - apa yang baru, di sini aku sedikit kecewa dengan perjalanan ceritanya, aku terlalu terganggu dengan jalan ceritanya yang teramat tipikal. Ia seolah - olah mengulangi penceritaan drama - drama TV atau jalan cerita matderihkolarperlih oleh NAMRON, dan memandangkan keduanya adalah dari bahagian utara semenanjung Malaysia, maka aku kira karya ini sangat - sangat rapat dengan penulisnya. Maka memandangkan ianya sangat rapat, boleh dikatakan bahawa ianya mewakili resah gelisah yang dihadapi oleh penulis tentang isu - isu orang melayu sendiri.

aku memandang Taukeh Lim, Bahtiar, Ibu Bahtiar dan Joho (Zakaria) mewakili elemen iaitu isu orang melayu sendiri iaitu.

Taukeh Lim (Unsur Luar)
Bahtiar (Rakyat Bawahan)
Ibu Bahtiar (Tradisi)
Joho (Golongan Atasan)

daripada unsur latar juga begitu.

Kelab Malam (unsur negatif/Unsur luar)
Rumah (Jati diri)
Pelantaq (Unsur luar - persimpangan negatif dan positif)

Bahtiar sanggup untuk melakukan kerja - karja haram, demi merawat sakit ibunya, dari segi interpretasi aku menggunakan elemen - elemen yang telah dinyatakan tadi, jelas menunjukkan bahawa, Bahtiar ingin melakukan sesuatu yang diluar daripada tradisi dan apatah lagi ditegah oleh ibunya tentang Taukeh Lim yang mempunyai aktiviti haram. Maka persoalan aku disini adalah, mengapa unsur luar itu semestinya haram dan tidak boleh digunakan? menggunakan watak Taukeh Lim, ia seolah - oleh memberi gambaran tentang bangsa lain itu hanya berniat untuk menguntungkan diri mereka sendiri tanpa mengira kawasan privasi dan jati diri bangsa lain. Perwatakan Taukeh Lim tidak diberikan justifikasi dan pengadilan yang kuat menyebabkan ianya menjadi watak yang stereotaip dan tidak dinamik. Berbalik kepada persoalan aku tadi, adakah unsur luar itu semestinya haram? Dan tidak boleh dilakukan? Jika kita menyebut soal Islam pula, boleh dikatakan bahawa unsur luar itu sendiri adalah Al-Quran dan As - Sunnah, dimana keduanya tidak menerima elemen atau unsur mistik, tahyul atau animisme yang diamalkan oleh sesetengah kita (orang melayu) sejak zaman berzaman iaitu tradisi yang diturunkan sejak begitu lama. Daripada segi adat budaya seperti persembahan budaya contohnya, apakah perubahan yang dilakukan (penggunaan unsur luar) itu adalah tidak benar dan tidak tulen? walhal sebenarnya semangat tradisi itu adalah berubah mengikut peredaran masa mengikut rentak dan tari bangsa yang memegang tradisi itu.

Contohnya, jika terdapat pengamal tradisi wayang kulit sejak tahun 1960an mengatakan unsur luar itu adalah tidak betul, maka apakah pengamal wayang kuli pada 200 atau 300 tahun dahulu mengatakan pengamal pada tahun 1960an itu betul? Sudah tentu terdapat beberapa elemen atau unsur yang dibuang atau diubahsuai dari generasi ke generasi, memandangkan pewarisan tradisi itu dilakukan secara lisan dan tidak pernah tertulis sejak dahulu lagi. Maka penolakan unsur luar itu akan terjadi jika perubahan tidak dilakukan secara parallel seperti menggunakan gitar dalam muzik wayang kulit, namun perubahan itu menjadi parallel dan tidak ditentang habis - habisan jika ianya hanya sedikit, seperti durasi persembahan wayang kulit yang dipotong menjadi pendek. Ini adalah sedikit idea dan pendapat aku tentang Teori Evolusi Budaya yang berlaku. Ingatlah bahawa bangsawan yang kita hargai itu bermula dengan perubahan daripada wayang parsi, maka perubahan itu tidak salah seratus peratus!

disini aku mengatakan bahawa Taukeh Lim, iaitu unsur luar tidak diberikan justifikasi dan pengadilan dengan betul kerana tidak menggambarkan dengan baik unsur luar itu sebetulnya.

Penderitaan yang dialami oleh Bahtiar sendiri adalah berpunca daripada diri sendirinya juga, ini kerana boleh dilihat (mungkin disebabkan lakonan yang tidak begitu baik ataupun tidak, saya tidak dapat menilainya, mungkin disengajakan oleh pengarah) wataknya yang begitu lemah dalam menangkis unsur luar, jika dia benar - benar dididik dengan jati diri yang tinggi, maka dia seharusnya mampu menangkis anasir luar seperti terlibat dalam aktiviti haram oleh Taukeh Lim dan juga dapat mengelak diri dari pergi ke kelab malam. Secara interpretasinya pula, dapat dilihat Bahtiar (rakyat golongan bawahan) sangat lemah dalam menghadapi anasir luar mengakibatkan kematian tradisi itu sendiri dan akhirnya dia mempersoalkan kehadiran watak ayah (Joho - Zakaria) sebagai punca dan penyebab kematian ibunya sendiri (tradisi).

Dapat kita lihat bahawa secara kolektif, budaya dan persembahan seni tradisional berkait rapat dengan golongan istana yang banyak membantu dalam perkembangannya, namun penurunan sokongan istana kepada seni tradisional ini menyebabkan ianya hampir luput dan pupus dan ini menyebabkan beberapa pihak tidak puas hati (yakni penggiat seni tradisional itu sendiri) kerana tidak mendapat sokongan dari segi dana untuk membuat persembahan. Faktor ini mungkin ada kaitannya, namun permasalahan sekarang adalah jati diri rakyat itu sendiri (Bahtiar) tidak cukup kuat untuk menolak anasir luar, meskipun tidak menolak, namun seharusnya mereka menanamkan budaya apresiasi terhadap seni tradisional (ibu bahtiar) yang tinggi demi mengelakkannya daripada mati dan pupus.

Namun ikhtiar Bahtiar untuk membebaskan Nina yang senasib dengannya adalah ikhtiar yang patut dipuji, walaupun pada akhirnya Nina mati ditembak oleh Joho pada akhirnya, ini menunjukkan Bahtiar (rakyat golongan bawahan) masih lagi mahu membebaskan rakan senasib dari penderitaan yang mereka alami namun pada akhirnya telah tertembak, dibunuh oleh golongan atasan (Joho - Zakaria).

Ada beberapa elemen yang membuatkan aku tidak selesa di dalam pementasan ini, salah satunya...

1. Pengunaan pelakon perempuan kecil untuk babak rogol
-seni hanyalah satu medium semata - mata, namun seharusnya bagi kita yang berada di Malaysia dan apatah lagi beragama Islam, seharusnya perkara ini haruslah dielakkan, kerana ini seperti mengajar sesuatu yang tidak baik kepada anak - anak kerana mendedahkan mereka dengan perkara sebegini diwaktu muda, hanya apabila pengarah memberitahu tentang keadaan seperti perlunya mereka menjaga maruah mereka walaupun dicabuli oleh ayah mereka sendiri ketika sesi latihan, barulah ianya wajar menggunakan anak kecil. Medan seni di Malaysia haruslah dijadikan tempat untuk mendidik anak - anak untuk menghargai seni dan yang terutama sekali agama dan adat yang tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As - Sunnah.

2. Pelacur, Kelab Malam.
-Ini adalah adegan - adegan yang membuatkan aku rasa sedikit terganggu, kerana isu "bukannya aku nak, tapi dah terpaksa" sudah terlalu lama dijulang dan ditayang di mana  mana baik di drama, radio ataupun panggung wayang. Maka apakah penyelesaiannya? Aku merasakan bahawa orang ramai sudah tahu tentang hakikat ini dan seharusnya kita bergerak untuk lebih progresif ke arah penyelesaian dan bukannya menayang - nayangkan dosa. Ia mengingatkan aku kepada karya - karya NAMRON dan karya Ismail Kassan "Dejavu seorang perempuan" serta beberapa karya lain yang menggunakan tema yang sama. BERUBAH, BERUBAH, BERUBAH, dan CUBA BERUBAH, kita mampu melakukannya, Insyaallah.

Teknikaliti

Daripada teknikaliti persembahan, Akrab hampir berjaya melakukan persembahan yang baik, dengan permainan lampu yang menarik serta tatarias pentas (termasuklah Platform) dapat memberikan pengalaman menonton yang bagus, cuma akibat beberapa masalah teknikal (teknikal ini termasuklah aspek lakonan) menyebabkan ianya menjadi persembahan yang tidak kesampaian kerana kurangnya elemen dramatik walaupun ia hampir mencapai tahap yang sepatutnya.

Beberapa aspek teknikal seperti props (baju yang dibuang tidak sampai ke belakang pentas, dapat dilihat oleh penonton) dan lakonan yang kurang memberi impak yang menjatuhkan pementasan ini ke tahap yang sepatutnya. Props seperti baju yang tidak berada di luar pentas, Air botol tumpah diatas pentas (meskipun berjaya diangkat dengan berjaya) mencacatkan sedikit persembahan. Lakonan pula adalah penyumbang utama kepada kekurangan aspek dramatik pementasan ini, kerana babak kematian ibu bahtiar adalah babak yang terpenting sekali di dalam pementasan ini, akibat pacing yang terlampau cepat dan lakonan yang tidak begitu meyakinkan, maka kuranglah dari segi aspek dramatik menyebabkan penonton terkapai - kapai, tidak tahu sama ada untuk bersimpati kepada Bahtiar atau membiarkan sahaja dia bersama mayat ibunya di atas pentas.

Persoalan yang ditimbulkan oleh korus dalam setiap kali pertukaran set (Platform) menyebabkan beberapa watak tidak dapat berkembang dengan baik kerana setiap kali pertukaran berlaku, ia akan memakan masa yang agak lama. Maka apa yang boleh dilihat menerusi hubungan Bahtiar dan rakan - rakannya di Pelantar? Ini mungkin kerana AKRAB mahu menghormati masa yang telah ditetapkan oleh penganjur pertandingan, kerana sudah pasti dengan perkembangan yang meliputi bukan sahaja antara hubungan Bahtiar dan Taukeh Lim serta Ibunya, pasti jalan ceritanya tidak terlalu meleret dan watak dapat dikembangkan dengan baik, namun permasalahannya adalah - Siapa yang akan menggerakkan platform tersebut? Ini mungkin seperti soalan siapa yang lahir dulu, ayam atau telur ayam? Maka perkaitan antara teks dan teknikal harus difikirkan sebaiknya oleh pengarah dan jika diberikan pada aku teks ini, aku juga akan pening kepala untuk memikirkan aspek teknikal demi tidak mencacatkan aspek dramatik pementasan.

Kesimpulannya

Kesimpulan yang dapat aku simpulkan disini adalah, Kumpulan Teater AKRAB telah menjalankan tugas mereka dengan baik sekali terutama dalam pembinaan Pelantaq/Platform yang menjadi objek utama dan terpenting dalam pementasan, sayangnya kandungan cerita yang ditulis adalah sudah agak lama, dan perbahasan mengenainya sudah agak lapuk untuk dibincangkan, seharusnya suatu gerakan penyelesaian harus dilakukan untuk memberi makna kepada tradisi dan pewarisan baru ini untuk terus bergerak, jika tidak, ianya akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat yang terlalu lama bermuram seperti Bahtiar kerana kematian ibunya (tradisi). Tidak seharusnya sesuatu masyarakat dan bangsa itu harus bermuram kerana kematian tradisi, namun memegang semangat tradisi itu penting, iaitu meneruskan apa yang diketahui di tangan dan sentiasa membawa ianya bersama dengan idea - idea inovatif dan kreatif sambil menjulang dan menjunjung akhirat iaitu Islam berdasarkan Al-Quran dan As- Sunnah. Kita tidak mahu lagi menjadi seperti Nani yang terperangkap namun semakin putus harapan untuk keluar daripada perangkap Joho - Zakaria, dan sentiasalah penuh harapan dalam sedikit kesedaran seperti Bahtiar.

Syabas kepada kumpulan AKRAB di atas pementasan yang menarik itu!



No comments:

Post a Comment