Thursday, October 4, 2012

Review Teater Mencari Ricka : Di mana?

Bismillahirrahmanirrahim.

Malam tadi baru lepas menonton Teater Mencari Ricka oleh Grup G-Tel UMS. Berikut adalah reviewnya.

Sinopsis

Sememangnya takdir kebahagiaan bukanlah milik manusia secara hakiki. Sesekali hidup dikejutkan oleh duri semalu dan adakalanya senja yang kelam datang bertamu. Demikianlah kehidupan Ricka yang dirundung malang ekoran daripada kematian emak dan kecacatan bapanya sekaligus membawa kepada bebanan kakaknya Rionum yang bertali - tali. Kebahagiaan Ricka itu dirampas sekelip mata oleh Undang - undang manusia yang bolos dan pincang. Bermulalah tragedi - tragedi berdarah, tragedi - tragedi tragis dalam hidup Ricka. Tragedi yang diakibatkan oleh hak tanah, penderitaan bapa dan kematian kakak, kerakusan Magiri serta ketamakan pemegang kuasa sekaligus membawa kesemuat Ricka yang dalam. Keharu biruan hidupnya itu dirakamkan Ricka di dalam cerita -ceritanya. Kelaraan takdir yang merundung dirinya itu menyebabkan berlaku kekacauan personaliti dalam dirinya yang akhirnya membawa kepada dendam kesumatnya yang tidak pernah terpadam. Kerana terlalu obses kepada dendamnya, Ricka akhirnya menemui satu titik karma, titik karma yang memadam segalanya.

Mencari Ricka - bermula dimana?

Dari sinopsis pun aku dah tahu yang skrip ni menggunakan kata - kata yang cukup indah dan berpuitis, ini tidak menghairankan, kerana skrip ini pada asalnya adalah sebuah karya untuk pertandingan DEKON MAKUM! namun terdapat beberapa kelemahan yang timbul kesan daripada pengadaptasian/perubahan medium ini. Pertama, dari segi pembahagian skrip ia adalah tidak seimbang, kerana watak RICKA terlalu banyak melontarkan dialog menyebabkan ianya sedikit melelahkan, meskipun kata - katanya indah, namun haruslah penulis tahu bahawa penyampaian DEKON dan TEATER adalah sesuatu yang berbeza, berdasarkan komen dari Tuan Said, pensyarah aku yang turut menonton sebagai satu agenda perbincangan di dalam kelas, Tuan Said mengatakan bahawa ia adalah seolah - olah monodrama dengan sedikit penambahan pelakon, kerana Ricka terlalu lama bermonolog dan hubungannya dengan watak - watak lain seolah - olah tenggelam dan watak tersebut hanya hidup untuk 'melakonkan' babak tersebut. Ya, semestinya kerana ia adalah satu bentuk Flashback, namun ia harus dihidupkan dan dengan mengurangkan monolog Ricka yang terlalu panjang itu dan menambahkan lagi interaksi antara watak Ricka dan yang lain adalah salah satu kaedah yang mungkin boleh digunapakai. Kostum yang dipakai oleh Ricka ini juga sama  di dalam flashback dan juga ketika dia di bandar, adakah ini disengajakan oleh pengarah untuk memberikan interpretasi yang berbeza? jika tidak, seharusnya pengarah membezakan watak Ricka ini dengan interpretasi yang berbeza, seperti pelakon yang berlainan atau pelakon menukarkan bajunya ketika berada di dalam bahagian flashback. Penggunaan shadow projection di setting kawasan bandar juga menimbulkan tanda tanya tentang di mana peristiwa itu berlaku. Dari segi lakonan juga tidaklah begitu memberangsangkan, dilihat  watak Ricka itu hidup, namun akibat kurangnya interaksi dengan watak yang lain, maka peranannya dalam setiap babak kelihatan superficial dan bersifat sementara sahaja.

Dari segi Isu yang mahu disampaikan, ia bukanlah sesuatu yang baru, isu tanah, pembunuhan, pondan dan dendam seringkali digunakan dan MENCARI RICKA tidak menjanjikan apa - apa yang baru. Persoalan yang dilontarkan juga tidak dapat dikenalpasti kerana lontaran vokal yang terlalu perlahan oleh pelakon, memandangkan kebanyakan dialog yang digunakan adalah di dalam dialek sabah, maka ia menyukarkan lagi penonton untuk memahami dan mendengari dengan jelas setiap dialog. Salah satu babak yang boleh tertanam dalam ingatan aku adalah ketika Rionum diubat dengan cara tradisional, ketika hantu - hantu keluar dengan konsep "glow in the dark".

Secara kesimpulannya, teater "Mencari Ricka" menjanjikan sesuatu, namun tidak terjumpa seperti kaburnya pencarian kita terhadap Ricka yang hanyut dalam falsafah hidup yang penuh dendam dan amarah. Barangkali penulis skrip ini memerlukan lebih masa untuk menggarapkan penceritaan yang baik untuk menghasilkan pementasan yang lebih bermutu. Apa - apa pun, terima kasih di ucapkan kepada team produksi Grup Teater G-Tel.

No comments:

Post a Comment