Saturday, October 6, 2012

Review Teater Buai : Hayunan yang mengesankan

Sinopsis

Buai mengisahkan seorang lelaki tua bernama Pak Kadar, Tukang perabot yang setia dengan kerja - kerja di bengkelnya seharian tanpa ada rasa jemu. Prinsip hidupnya adalah ikhlas, amanah dan jujur semasa bekerja. Di bengkelnya terdapat bermacam perabot termasuklah sebuah BUAI antik yang sangat cantik tetapi masih belum dituntut oleh pemiliknya sekian lama. Mat Kael yang selalu datang ke bengkel Pak Kadar mencadangkan BUAI tersebut dijual sahaja.

Disebabkan rasa amanah dan tanggungjawab, Pak Kadar enggan menjual buai tersebut pada orang lain walaupun ditawar dengan harga yang berganda. Baginya BUAI tersebut hanya boleh dimiliki oleh pemilik atau waris pemilik yang berhak sahaja. Dia tetap menunggu kehadiran pemilik mutlaknya yang dikatakan milik seorang wanita cantik memakai jilbab (Niqab/purdah).

Pak Kadar meminta Mat Kael membantunya membuatkan wasiat untuk Buai tersebut. Siapakah Mat Kael dan apa kaitan Mat Kael dengan Pak Kadar? Siapa pula yang hadir untuk mendapatkan Buai tersebut? Dan siapa pula wanita berjilbab yang menjadi pemilik Buai tersebut? Apakah kaitan semua ini dengan hidup Pak Kadar?

Buai - Perlambangan yang kuat dengan subteks yang santun

"Harta orang tu, jangan duduk, berdosa"

itu adalah antara ayat yang diulang - ulang oleh Pak Kadar. Pada awal pementasan, kita dapat melihat Pak Kadar seperti orang gila bercakap seorang dengan kerusi tersebut, namun persoalan ini kemudiannya dibiarkan mati dan akan terjawab pada penghujung cerita setelah watak anak Pak Kadar, Sa'diah muncul dan menceritakan bagaimana dia dibesarkan dalam keluarga yang kuat penerapan agamanya, namun Pak Kadar tidak membenarkan dia berkawan dengan sesiapa kecuali Leha, pembantu Pak Kadar di bengkel perabotnya. Sa'diah yang meminati gurindam dan seni warisan melayu yang lain seperti sajak, nazam seperti tidak disukai oleh Pak Kadar sendiri, disebabkan Pak Kadar ini berasal dari Kelantan, semacam satu stereotaip oleh penulis kepada orang Kelantan yang kuat pegangan agamanya. Dari segi perwatakan Sa'diah, terdapat semacam watak idealisme yang digambarkan oleh penulis skrip, kerana Sa'diah digambarkan seperti seorang wanita melayu yang sangat sempurna, pandai bersyair, bernazam, berpuisi dan kuat pegangan agamanya, namun yang menyebabkan aku sedikit terganggu adalah ketika perbuatannya (dalam dialog) yang sedikit menunjuk - nunjuk, seperti terlalu ingin menunjuk bahawa dia adalah seorang muslimah. Seketika itu aku teringat akan watak Altha al funnisia dalam ketika cinta bertasbih oleh Pak Habiburrahman, watak anna itu dan kebanyakan watak Habiburrahman (aku hanya menilainya menerusi filem, bukan novel) yang diciptakan, tidak tertonjol idealismenya dan tidak pula terlalu menunjuk - nunjuk, dia berjaya menghidupkan watak itu dengan meletakkan konflik dalam watak itu, anna, walaupun seorang wanita solehah yang patuh kepada ajaran agamanya, namun apabila dalam situasi konflik, dia sering terlalu beremosi sehingga lupa akan realiti dan bagaimana sebetulnya dia berfikir secara logik dan menenangkan dirinya menyebabkan dia sering membuat keputusan secara terburu - buru. Dalam Buai pula, terdapat dua ekstrem, satu adalah watak Sa'diah dan satu adalah watak Leha, keduanya adalah titik ekstrem di dalam cerita ini, dimana Sa'diah adalah perempuan yang mematuhi agamanya manakala Leha pula seperti bangga dengan dirinya berdosa dan menunjuk - nunjuk betapa dia adalah seorang yang banyak dosa. Mungkin penulis sengaja membuat watak tersebut kerana Sa'diah memakai jubah putih dan kostum Leha pula berwarna merah, dua warna yang menjadi tema kepada pementasan ini. Namun aku lebih mengharapkan Leha dan Sa'diah menunjukkan ciri - ciri manusia dan tidak terlalu idealistik keadaannya, maka mungkin keduanya akan nampak lebih hidup.

Apa yang menjadikan skrip ini adalah skrip yang baik adalah bagaimana setiap satu isu dan persoalan dikupas dan lontarkan kepada penonton sedikit demi sedikit, membiarkan aku untuk berfikir sebab dan akibat mengapa persoalan - persoalan yang ditimbulkan baik dari props atau setting, dan juga dialog - dialognya yang begitu subtle namun kuat. Suntikan halus ini yang membuatkan hati aku berbolak balik. Antaranya...

1.Tentang obsesi Pak Kadar kepada Buai sehingga membunuh orang hingga orang yang dia sayang.
2.Tentang kejujuran Mat Kael dan lurus bendulnya namun ditolak pinangannya oleh Pak Kadar meskipun Sa'diah amat mencintainya.
3.Tentang prinsip Pak Kadar yang terlalu ingin menyimpan buai untuk diberikan kepada pembelinya, walhal dia tidak mengenali pembeli tersebut dan walaupun ada orang yang mampu membelinya dengan harga yang tinggi namun ditolak.

Banyak lagi yang bermain di minda aku ketika menonton pementasan ini, dan antara yang lain adalah status Kelantan dan isu royalti minyak, terdapat perkaitan antara pementasan ini dengan isu tersebut. Sisi Paranoid orang melayu terhadap sesuatu yang berunsur peribadi (adat, agama dan tanah) juga dapat aku kaitkan dalam pementasan ini.

Namun satu - satunya elemen yang membuatkan pementasan ini nampak hidup adalah kerana adanya hubungan Pak Kadar - Mat Kael yang berkembang ketika di atas pentas, pelakon yang melakonkan watak Mat Kael mempunyai harapan untuk dapat anguerah pelakon pembantu lelaki terbaik untuk festival ini (walaupun aku tidak menonton dua lagi persembahan dari dua kumpulan yang lain). Perwatakan yang tidak terlalu dibuat - buat dan lakonan yang semulajadi mengimbangkan suasana pentas tenaga pada babak tersebut. Babak ini kemudiannya agak draggy dan sedikit meletihkan namun berjaya di sambut baik pada babak tersebut. Hubungan antara Mat Kael dan Sa'diah digambarkan dengan baik sekali tatkala Mat Kael duduk di buai tersebut seketika, ini menimbulkan suasana yang mengharukan akibat cinta yang tidak kesampaian memandangkan penonton (termasuk aku) akan kesiankan watak Mat Kael tu atas perwatakannya yang bodoh - bodoh alang.

Namun aku ditampar dan menyedari bahawa apa yang mahu disampaikan oleh penulis pada babak akhir cerita adalah cerita tentang pembunuhan, aku telah dilupakan untuk meneka pengakhiran tersebut dengan pace dan moment yang mengesankan dalam pementasan. Sedikit hampa dan kecewa dengan pengakhiran yang cliche, namun aku harus berikan satu penghormatan kepada krew produksi dan penulis yang betul - betul telah membuatkan aku terus ingin duduk. Pada awalnya aku tidak mengharapkan ia pementasan yang baik memandangkan permulaannya yang agak draggy oleh lakonan watak Sa'diah, namun kehadiran Mat Kael berjaya menyelamatkan segala - galanya.

Teknikaliti

selain dari lakonan yang pada keseluruhannya tinggi sedikit dari biasa, pementasan ini juga mempunyai lighting yang agak tidak berkesan, kerana terlalu menggunakan lampu berwarna, lampu profile tidak digunakan sepenuhnya menyebabkan wajah pelakon tidak diberikan pencahayaan yang baik ketika dalam lakonan dan menganggu aku sebagai penonton. Beberapa usaha harus aku puji antaranya ialah dimana lampu warna dimainkan untuk menggantikan watak pelanggan 'invincible' di dalam babak Leha melayan pelanggan yang datang.

Kesimpulan

Kesimpulannya Buai menjanjikan satu kelainan dalam keempat - empat malam (dari selasa hingga jumaat) pementasan. Kumpulan ini berkemungkinan mendapat tempat tiga teratas di dalam keputusan festival nanti kerana lakonan dan skrip yang mantap dan berjaya memperdayakan dan mengalihkan pandangan aku sebagai seorang penonoton dan menarik aku kedunia mereka buat sementara dan menikmati sedikit pemikiran dan idea yang telah dilontarkan. Tahniah kepada krew produksi Majlis Teater Selangor!


No comments:

Post a Comment