Tuesday, October 18, 2011

Bayaran Kegembiraan


Wajah orang tua itu sayu melihat pemandangan potret latar belakang yang indah walaupun palsu, harapannya untuk menggapai senyuman petang itu tidak tercapai memandangkan poket yang indah itu lah yang dikejar manusia, tanpa sebarang rasa manusia sedikit pun, yang tidak berpoket, koyak, hancur, semuanya diletak ketepi untuk memberi laluan kepada yang riak dan gembira ruang seluar di kiri dan kanan.

"mak, jom lah mak, kita balik, nanti takut sampai rumah lewat pula"

Zam menyapa dan cuba mengingatkan ibunya untuk pulang ke rumah, sudah puas dia merasa kepalsuan hari yang konon gilang gemilang, hari yang dirasakan seperti neraka, apabila ibunya terpaksa berhempas pulas menghasilkan pisang goreng yang jumlahnya dua kali ganda untuk membayar kegembiraan palsu hari itu. Hari palsu ciptaan masyarakat barat itu dinamakan "hari graduasi", dan Zamri hanya mampu menggetap bibir tanda marah kerana ibunya dibuli.

Zamri merenung wajah ibunya, dan dia mengerti.

"mak, jom balik mak"
"jom..."

Dia cuba menahan perasaan marah ketika itu, dia tahu ibunya mengharapkan gambar untuk dipampang luas - luas di dinding rumah buruk mereka itu, sebagai tanda bahawa mereka juga mampu untuk gembira, mereka juga mampu untuk meraikan, dan kejayaan dunia ini tidak ada kena mengena dengan taraf hidup dan semua dapat menikmatinya, tapi sayang, gambar yang dipertuan agong itu tak mampu dimiliki oleh semua orang meskipun dicetak berkali - kali, apatah lagi bagi anak nelayan sepertinya, hanya hanyir laut yang sudi menerima insan seperti mereka.

Zamri meninggalkan hilai ketawa dan pesta gembira di dewan ketika itu, manusia beratur untuk merakam kegembiraan hari graduasi di studio mudah alih itu ditinggalkannya jauh - jauh, sejauh mungkin di dalam hatinya. Hati itu sudah parah berdarah, dia tidak mampu menanggungnya lagi, dengan kekuatan yang masih ada, banjir di matanya ditahan, agar si ibu tidak terluka, namun setitis jatuh di bucu mata.ah, apakan daya, dia cuma manusia.

****

"HA! kenapa mahal sangat?"
"nak buat macamana, semua ini dah ditetapkan oleh pihak universiti, kami terpaksa ikut"

kedengaran rungutan oleh para pelajar ketika beratur mengambil gambar.

RM1000 untuk hari graduasi
RM1500 untuk set gambar
RM2000 untuk sijil

itu dasar universiti yang baru yang terpaksa dijalankan dibawah akta Universiti, pindaan 2021 yang menyatakan bahawa para pelajar yang mempunyai keluarga berpendapatan tinggi akan dikenakan cas tambahan bagi hari graduasi dan sesi fotografi, sesi fotografi sekitar kawasan universiti dilarang sama sekali. Para pelajar yang mempunyai keluarga berpendapatan rendah akan diberi percuma untuk hari graduasi dan sesi fotografi.

Petang itu ramai yang mogok tidak mahu mengambil gambar dan bergraduasi, ada yang sedang membuat pakatan untuk menentang dasar baru ini yang dikatakan tidak adil

Petang itu ada Datuk yang tersenyum lebar.
sekarang mereka tahu erti susah bagi yang memegang potret yang dipertuan agong itu.

"ibu, jangan menangis lagi..." 

No comments:

Post a Comment