Sunday, December 19, 2010

Cerpen Preview : Salju Nan Pudar

Amir terjaga dari tidurnya, malam itu, malam yang tidak asing baginya, sepertimana malam - malam sebelumnya. Dia mencari - cari, meraba - raba jam locengnya.


"Pukul 2.30 pagi"

kata hatinya.


matanya meliar mencari sebab kenapa tidurnya diganggu, bukan marah, tetapi mahu mencari puncanya, dan punca itu datang tidak jauh dari tempat dia tidur. Dalam kegelapan, dia merenung tepat ke arah satu sudut, ya, barangkali itulah punca tidurnya diganggu. Dia bangun perlahan - lahan dan suis lampu bilik dibuka untuk melihat 'punca' tersebut.

Aishah


dia sedang menangis teresak - esak, kakinya dirapatkan, dan kepalanya tertunduk dan merapati lutut, satu posisi yang tipikal bagi manusia yang berada dalam keadaan tertekan atau kesedihan, tapi suasana tipikal tersebut tidaklah dirasakn tipikal oleh Amir, kerana dia menganggap, Aishah, isterinya itu istimewa berbanding orang lain, dan keistimewaannya itulah yang mendambat hatinya untuk meminang gadis istimewa itu 5 tahun lalu. Bahtera bahagia dilayari seperti insan - insan lain bergelar pengantin, namun episod - episod seterusnya tidaklah begitu indah, mak dan ayah Amir masih tertunggu - tunggu melihat mereka menimang cahaya mata, maklumlah, orang berumur sebegitu bagaikan perkara wajib bagi mereka untuk memperolehi cucu dan soalan sebegitulah yang sering ditanyakan oleh rakan - rakan yang sebaya jika berjumpa.

"Aishah dah mengandung?" tanya ayah Amir.

"belum lagi ayah, insyaallah, ada rezeki, adalah..." jawab Amir.


begitulah jawapan yang diberikan Amir setiap kali ditanyakan soalan yang sama oleh ayahnya, setelah hampir 5 tahun berlalu otaknya bagai sudah dapat mengagak bila ayahnya akan menanyakan lagi soalan yang sama dan jawapan yang sama akan dibalas dari Amir, bagaikan interaksi antara pemanggil dan answering machine di telefon.

Anak?


perkara itu tidak berada dalam fikiran Amir sewaktu menikahi Aishah, kerana dia lebih mengenali Aishah, terlalu banyak cerita yang dilalui oleh Aishah yang dia tahu hinggakan jika ia dibuat filem atau drama, sudah semestinya berlarutan hingga beratus - ratus episod atau dalam filem, berjam - jam lamanya. Apa yang berada dalam fikirannya ketika menikahi gadis itu adalah satu.

Allah

Demi kasih padaNYA, dia tak mahu melihat seorang gadis seperti berjauhan dari cintaNYA hanya kerana kisah silam yang menghantuinya dan ketika ini, harapannya cuma satu, iaitu menjadi tempat bergantung kepada Aishah dan menemaninya ketika diperlukan. Pemulihan, barangkali itu yang bermain di fikiran Amir tiap kali dia berhadapan dengan situasi begini.


"Aishah, sayang............sayang tak tidur lagi?" tanya Amir dengan lembut.

tiada jawapan

"sayang? sayang abang ni duk sini nak main nyorok - nyorok ye?" tanya Amir dengan sedikit bergurau.

"Abang........tidurlah, biar Aishah kat sini" jawab Aishah dengan sedu - sedan.

"tak naklah, abang tak selesa tidur kat katil tu kalau awak tidur kat lantai ni, kalau nak tidur sini, kita tidur sini sama - sama nak?" tanya Amir dengan sedikit manja.

"abang............Aishah tak nak susahkan abang, Aishah minta maaf bang" jawab Aishah.

"eh, susahkan apa pulak, abang pun dah biasa je tidur atas lantai ni," gurau Amir lagi

tiba - tiba Aishah memeluk kuat Amir, badan Aishah terasa sejuk pada malam itu, bagai ais, beku pada waktu musim sejuk, bagai salji yang putih, tapi keputihan itu tidaklah terpancar pada diri Aishah, dia menganggap dirinya itu bagai salji yang pudar warnanya, pudar akibat kekotoran dunia, kejahatan manusia ke atasnya.

"abang, Aishah minta maaf bang, Aishah minta maaf bang, Aishah janji tak buat lagi, Aishah tak nak lagi ingat dia bang, Aishah nak jadi isteri yang baik untuk abang, nak jadi isteri solehah, hati Aishah untuk abang je, bukan kat orang lain, bukan kat penipu tu, kat lelaki jahanam tu, ampunkan Aishah bang, ampunkan Aishah bang, Aishah bukan sengaja nak rindu kat dia......"
kata Aishah dengan laju sekali, bagaikan tiada pengampunan buatnya dari Amir jika dia tidak menyatakan perkara sebenar, apa yang bermain di benaknya pada ketika itu, air mata berjujuran dipipi, basah, bagaikan ada empangan air yang tidak terkira luasnya bertakung di matanya ketika itu, dan ia dikeluarkan, bagi memohon pengampunan dari Amir, suaminya, yang tidak bersalah, terlibat dalam kesakitan cintanya yang benar - benar dihancurkan dengan rakus dahulu.


"ni mesti pasal Rizuan ni kan?" tanya Amir dengan lembut.

bagai menarik rambut didalam tepung, dia tidak mahu isterinya itu terguris walau sedikit dengan kata - katanya, jika tidak, mungkin isterinya itu akan berlarutan tangisannya untuk beberapa hari, pernah sekali dulu dia memarahi isterinya itu kerana kesilapan sedikit ketika mengemas rumah, barang Amir yang penting hilang setelah Aishah mengemas rumah. Kesan dari kemarahan tersebut, berminggu - minggu Aishah menangis dan tidak mahu bercakap dengannya. Maka jika dia menengking isterinya itu kerana hal peribadi ini pula, sudah semestinya dia terpaksa hidup bujang sementara menunggu isterinya itu pulih dari kesedihannya.

Aishah mengangguk perlahan dengan pertanyaan Amir itu.

"Sayang abang rindu lagi kat dia yeeeeee?" tanya Amir dengan nada kebudak - budakan.

"tak, tak nak rindu dia" jawab Aishah.

"takper, cakap jer rindu, abang tahu Aishah rindu kat dier....." balas Amir.

"Maafkan Aishah bang, Aishah tak dapat buang dia lagi dalam hati Aishah, Aishah berdosa dengan abang sebab derhaka kat abang, Aishah....." 




belum sempat Aishah menghabiskan kata - katanya, Amir mengucup dahi Aishah  yang basah akibat berpeluh dingin pada malam itu, dan Amir merenung mata isterinya itu dengan perasaan simpati, kasih dan perasaan tersebut lebih dalam dari perkataan cinta yang diucapkan dari seorang lelaki kepada seorang wanita, ya, jauh lebih dalam itu, kerana cinta Amir kepada Aishah adalah cinta yang dianugerahkan oleh Allah ketika dia mencari namaNYA dalam hidupnya, mencari cintaNYA.


"Aishah sayang, abang takkan faham apa yang Aishah lalui, dan abang pasti, kalau abang lalui perkara yang sama, sudah tentu abang akan jauh lebih sakit dan lemah berbanding Aishah, abang tahu, isteri abang ni kuat, bukan mudah membuang sesuatu seperti itu dalam hidup kita, cinta, hati, semua ini seperti juga perkara lain, di dalam genggaman Allah, mungkin ada hikmah kenapa Aishah masih belum dapat buang perasaan tu, tapi bersabar lah sayang, bersabar, abang ada kat sisi Aishah selalu, kalau sayang rasa nak luah sesuatu, bagitahulah pada abang, abang sedia dengar semuanya tanpa jemu, tak, tak, Aishah tak pernah berdosa pada abang, semua ini dugaan Allah pada kita, kenapa abang perlu marah dengan dugaan Allah ni? bukankah lebih elok jika kita dapat hadapinya bersama sayangku Aishah?"


Aishah menangis dan bersalaman dengan suaminya, mengucup tangan suaminya yang tercinta, yang menjadi tempat dia bergantung harap setelah ibu dan ayahnya tiada, menjadi anak tunggal merupakan perkara yang berat bagi Aishah terutama bila berhadapan dengan masa silamnya yang perit, apatah lagi bila maruah diri tergadai ditangan seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab mencintainya atas sebab nafsu serakah hati, ya, barangkali cinta suaminya yang tulus keranaNYA itulah yang harus dikejar daripada cinta manusia berhati syaitan itu. Kasih seperti itu, lebih dalam, dalamnya menjangkaui soal hati yang tak pernah sudah mengelirukan manusia, ya, cinta DIA itulah yang dicari sebenarnya, dan ia dipancarkan melalui cinta suamiNYA itu, yang juga mencintaiNYA.


"sayang, dah makan ubat dah?" tanya Amir

"belum lagi, ubat tu buat Aishah mengantuk, nanti tak boleh buat kerja apa pun, nak berfikir pun susah" jawab Aishah 

"ye lah, sayang, nanti kalau tak makan, nanti kalau Aishah meracau bila abang tak ada kat rumah, buatnya Aishah lari dari rumah, dah jadi satu hal pulak abang nak tampal poster "sapa - sapa melihat kanak - kanak ini, sila hubungi saya" " gurau Amir

"eeeee, abang ni, suka buat lawak tau, ye la, nanti Aishah makan..."

"ha ha ha ha, sayang, alang - alang kita dah bangun ni, jom tahajjud nak? lepas tu tadarus sekejap?" Amir memberikan cadangan.

"ala.....Aishah ngantuk..." balas Aishah yang mengenyeh matanya yang masih basah.

"olo, ngadernyer comel abang ni, takpa, sekejap jer, baiklah, kita tahajjud sajalah ye?" Amir memberi cadangan lagi.

"oklah, boleh juga" balas Aishah bersetuju dengan suaminya itu.

Aishah bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil air sembahyang, Amir melihat kelibat isterinya itu yang kemudian hilang dari pandangan, perlahan - lahan air matanya mengalir, bersyukur atas segalanya, bersyukur kerana dia mengenali wanita itu dalam hidupnya, menjadi teman baiknya dan dianugerahkan cinta olehNYA, barangkali sudah jodoh mereka, barangkali semuanya ada hikmah yang tidak terlihat oleh manusia yang tidak mahu berfikir.


"aku perlu kuat untuk kami berdua, untuk hari esok dan seterusnya...."

detik hati Amir, kerana begitulah rutin harian mereka, di malam hari, selama 5 tahun ini...........











 

No comments:

Post a Comment